Tuesday, July 22, 2008

Ayat Tenang Tenteram

1)
Dan Nabi mereka, berkata lagi kepada mereka: "Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu (yang menunjukkan benarnya dari Allah) ialah datangnya kepada kamu peti Tabut yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa dari Tuhan kamu, dan (berisi) sebahagian dari apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi-nabi Musa dan Harun; peti Tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya peristiwa kembalinya Tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman". (al-Baqarah, 2: 248)


2)
Kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya, serta Ia menyeksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan yang membawa kehancuran); dan yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang yang kafir.(al-Taubah, 9: 26)
3)
Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita". Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (al-Taubah, 9: 40)


4)
(Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dialah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (al-Fath, 48: 4)


5)
Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya. (al-Fath, 48: 18)
6)
(Ingatlah dan kenangkanlah ihsan Tuhan kepada kamu) ketika orang-orang yang kafir itu menimbulkan perasaan sombong angkuh yang ada dalam hati mereka (terhadap kebenaran Islam) - perasaan sombong angkuh secara Jahiliyah (yang menyebabkan kamu panas hati dan terharu), lalu Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman (sehingga tercapailah perdamaian), serta meminta mereka tetap berpegang kepada "Kalimah Taqwa", sedang mereka (di sisi Allah) adalah orang-orang yang sangat berhak dengan "kalimah Taqwa" itu serta menjadi ahlinya. Dan (ingatlah), Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (al-Fath, 48: 26)

SAKINAH (TENANG-TENTERAM)

Di dalam al-Quran, Allah SWT menyebut SAKINAH menerusi enam ayat di atas. Semua ayat-ayat tersebut diturunkan ketika orang-orang beriman berada dalam suasana getir, keadaan susah, ketakutan dan tidak stabil. Yang mana ayat-ayat di atas diturunkan ketika hari peristiwa Hijrah, hari perang Hunain dan hari perjanjian Hudaibiyah. Ketikamana golongan beriman tertekan dan cemas, Allah SWT memberikan SAKINAH secara khusus kepada mereka. Lalu hati mereka merasa aman, tenteram, lapang dan sejahtera. Begitulah Allah SWT lakukan terhadap golongan beriman yang ingat kepadaNya semasa waktu senang. Justeru Allah SWT membantu mereka semasa susah.

SAKINAH adalah nur, kekuatan dan ruh. SAKINAH meredakan ketakutan, menghiburkan orang yang bersedih dan cemas, menenangkan orang yang bengis dan hilang kawalan diri. Ia juga memberikan suntikan azam baru, ketabahan dan kecergasan. Apabila seseorang mendapat SAKINAH ia tidak akan melakukan maksiat. Ini kerana kelazatan, semangat, dan kenikmatan daripada SAKINAH lebih kuat menguasai dirinya daripada kelazatan maksiat.
Ketika susah, SAKINAH meneguhkan keyakinan seseorang terhadap janji Allah, di samping ia berusaha mengambil sebab untuk senang.

Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah membaca Ayat SAKINAH ketika menghadapi kesusahan. Suatu ketika beliau ditimpa sakit kuat dan merasa lemah untuk melawan godaan syaitan, beliau meminta orang berdekatannya membacakan Ayat SAKINAH kepadanya. Selepas itu beliau merasa lega dan lapang. Ibn Qaiyyim juga telah cuba mengamalkan bacaan Ayat SAKINAH, beliau mendapati ia sangat berkesan untuk menetapkan hati yang berbolak-balik dan memberikan ketenangan.

Sumber: Madarij al-Salikin, http://www.nabulsi.com/

No comments: