Agama Islam mempunyai makna dan definasinya sendiri mengenai intelektual. Ia dihubungkan lansung dengan sikap pengabdian diri kepada Allah SWT. Dalam masyarakat Islam, seseorang intelektual bukan saja perlu memahami sejarah bangsanya dan berupaya melahirkan gagasan besar dan murni untuk masyarakat, malah ia mesti menguasai ajaran Islam.
Di dalam Islam, istilah yang khusus diberikan, iaitu ulil-albab atau ‘orang-orang yang berakal, orang-orang yang mempunyai fikiran, atau ‘man of understanding, man of wisdom’. Ulil-albab disebut sebanyak 16 kali di dalam al-Qur’an, menunjukkan golongan ini mempunyai peranan sangat penting dalam sejarah tamadun manusia dan memberikan sumbangan besar kepada kemanusiaan. Justeru itu, ulama sebagai ulil-albab adalah pewaris ajaran nabi, menyampaikan risalahnya, kebijaksanaannya, sifat nubuwwahnya. Di tangan ulama, al-Qur’an menjadi dokumen hidup yang dibawa oleh Rasul s.a.w. untuk dihuraikan oleh mereka supaya dilaksanakan, iaitu menurut hukum dan sistem nilai yang ada di dalam kitab suci tersebut.
Tidak sekadar berpuas hati dengan ilmu dan maklumat yang banyak dimilikinya, serta mengikuti perkem-bangan semasa. Ia berperanan membawa ilmu itu ke persada masyarakat. Dengan ilmu itu juga, ia memandu masyarakat ke jalan yang benar, membawa kesedaran kepada masyarakat untuk merobah kepincangan mereka dari kegelapan kepada cahaya terang benderang.
Sesungguhnya golongan intelektual dianggap sebagai pemimpin kepada perubahan - transforming leadership - dan menjadi penggerak utama - prime mover. Oleh itu, intelektual menurut Islam ialah seseorang yang terus berkembang potensinya dan memberi manfaat kepada manusia. Di disebut di dalam al-Qur’an sebagai ‘pohon yang pucuknya mencapai awan, akarnya teguh jauh ke dasar bumi, buahnya menjadi rezeki manusia dan haiwan.’ (Surah Ibrahim)
Justeru itu, apabila para nabi dan rasul tiada lagi bersama kita, yang mewarisi tugas mereka ialah ulama yang disebut sebagai intelektual. Merekalah golongan yang paling layak digelar intelektual. Malah mereka mesti mengambil tempat sebagai penggerak utama ummah, merobah kehidupan ummah dari kegelapan kepada cahaya kemanusiaan.
Di masa lampau, para ulama yang memiliki ketakwaan yang tinggi, ilmu dan perwatakan yang mulia, seperti para imam mujtahid yang empat itu dan seterusnya al-Ghazali, al-Kindi, Ibn Taimiyyah, Ibn Sina, Ibn Khaldun, Syed Jamal al-Din al-Afghani, membawa kepada Hassan al-Banna, Syed Qutb, Abul ‘Ala al-Mawdudi, para ulama di rantau nusantara ini dan lain-lain lagi adalah para tokoh intelektual Islam; yang dengan ilmu dan ketakwaan mereka telah turun memimpin ummah, merobah mereka menjadi pelopor memperbaharui tamadun dan pemikiran ummah (tajdid hadhari). Merekalah intelektual sejati dan tidak pernah berhenti berfikir.
Mereka berjaya melepasi pelbagai ujian fitnah zaman - besar dan kecil - penjara dan penderaan, bahkan maut semata-mata kerana keteguhan keyakinan mereka. Mereka telah membayar ketakwaan dan keyakinan mereka dengan harga yang amat mahal. Begitulah intelektual sejati!
Intelektual, menurut perspektif Islam, antaranya ialah:
1) Mendapat hikmah:
يُؤتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاء وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا وَمَا يَذَّكَّرُ إِلاَّ أُوْلُواْ الأَلْبَابِ
“Allah menganugerahkan al-hikmah (kefahaman yang mantap tentang al-Qur’an dan al-Sunnah) kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan barang-siapa yang dianugerahi al-hikmah itu, ia benar-benar telah dianugerahi kurnia yang banyak Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.” (Al-Baqarah, 2: 269).
2) Mengambil pelajaran dari sejarah umat terdahulu
لَقَدْ كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لِّأُوْلِي الأَلْبَابِ مَا كَانَ حَدِيثًا يُفْتَرَى وَلَـكِن تَصْدِيقَ الَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ وَتَفْصِيلَ كُلَّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ
“Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab ugama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.” (Yosuf, 12: 111)
3) Bersungguh-sungguh mencari ilmu
هُوَ الَّذِيَ أَنزَلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ مِنْهُ آيَاتٌ مُّحْكَمَاتٌ هُنَّ أُمُّ الْكِتَابِ وَأُخَرُ مُتَشَابِهَاتٌ فَأَمَّا الَّذِينَ في قُلُوبِهِمْ زَيْغٌ فَيَتَّبِعُونَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ ابْتِغَاء الْفِتْنَةِ وَابْتِغَاء تَأْوِيلِهِ وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُ إِلاَّ اللّهُ وَالرَّاسِخُونَ فِي الْعِلْمِ يَقُولُونَ آمَنَّا بِهِ كُلٌّ مِّنْ عِندِ رَبِّنَا وَمَا يَذَّكَّرُ إِلاَّ أُوْلُواْ الألْبَابِ
“Dialah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat "Muhkamaat" (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat "Mutasyaabihaat" (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbulah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) - adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu ugama, berkata:" Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami" Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.” (Ali Imran, 3: 7).
4) Merenung ciptaan Allah SWT di langit dan di bumi dan memikirkan kebesaran serta kekuasaan Allah
إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَاخْتِلاَفِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لآيَاتٍ لِّأُوْلِي الألْبَابِ
“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.” (Ali Imran, 3: 190).
5) Mengambil pengajaran daripada kitab yang diwahyukan oleh Allah
كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِّيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُوْلُوا الْأَلْبَابِ
“(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), - Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.” (Sod, 38: 29).
هُدًى وَذِكْرَى لِأُولِي الْأَلْبَابِ
“Sebagai hidayah petunjuk dan peringatan bagi orang-orang yang berakal sempurna.” (Ghafir, 40: 54).
6) Mempertahankan keyakinan dan tidak terpesona dengan bilangan yang ramai
قُل لاَّ يَسْتَوِي الْخَبِيثُ وَالطَّيِّبُ وَلَوْ أَعْجَبَكَ كَثْرَةُ الْخَبِيثِ فَاتَّقُواْ اللّهَ يَا أُوْلِي الأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya. (al-Maidah, 5: 100).
7) Berusaha menyampaikan peringatan Allah kepada masyarakat dan mengajar mereka prinsip tauhid
هَـذَا بَلاَغٌ لِّلنَّاسِ وَلِيُنذَرُواْ بِهِ وَلِيَعْلَمُواْ أَنَّمَا هُوَ إِلَـهٌ وَاحِدٌ وَلِيَذَّكَّرَ أُوْلُواْ الأَلْبَابِ
“(Al-Quran) ini disampaikan kepada manusia supaya mereka diberi ingat dan diberi nasihat dengannya; dan supaya mereka mengetahui (dengan hujjah-hujjah yang tersebut di dalamnya) bahawa sesungguhnya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa; dan supaya orang-orang yang mempunyai fikiran, beringat dan insaf.” (Ibarhim, 14: 52).
8) Mematuhi janji Allah, menyampaikan apa yang diperintah Allah, bersabar, memberikan infaq, menolak keburukan dan menggantikannya dengan kebaikan
أَفَمَن يَعْلَمُ أَنَّمَا أُنزِلَ إِلَيْكَ مِن رَبِّكَ الْحَقُّ كَمَنْ هُوَ أَعْمَى إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُوْلُواْ الأَلْبَابِ ، الَّذِينَ يُوفُونَ بِعَهْدِ اللّهِ وَلاَ يِنقُضُونَ الْمِيثَاقَ ، وَالَّذِينَ يَصِلُونَ مَا أَمَرَ اللّهُ بِهِ أَن يُوصَلَ وَيَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ وَيَخَافُونَ سُوءَ الحِسَابِ ، وَالَّذِينَ صَبَرُواْ ابْتِغَاء وَجْهِ رَبِّهِمْ وَأَقَامُواْ الصَّلاَةَ وَأَنفَقُواْ مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرّاً وَعَلاَنِيَةً وَيَدْرَؤُونَ بِالْحَسَنَةِ السَّيِّئَةَ أُوْلَئِكَ لَهُمْ عُقْبَى الدَّارِ
[13: 20] Maka adakah orang yang mengetahui bahawa Al-Quran yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu (wahai Muhammad) perkara yang benar, sama dengan orang yang buta matahatinya? Sesungguhnya orang-orang yang mahu memikirkan hal itu hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.
Orang-orang yang menyempurnakan perjanjian Allah dan tidak merombak (mencabuli) perjanjian yang telah diperteguhkan itu; -
[13: 21] Dan orang-orang yang menghubungkan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan, dan yang menaruh bimbang akan kemurkaan Tuhan mereka, serta takut kepada kesukaran yang akan dihadapi semasa soaljawab dan hitungan amal (pada hari kiamat); -
[13: 22] Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka; dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat. (al-Ra`ad, 13: 19-22).
9) Bangun di tengah malam untuk beribadah - rukuk dan sujud - kepada Allah
أَمَّنْ هُوَ قَانِتٌ آنَاء اللَّيْلِ سَاجِدًا وَقَائِمًا يَحْذَرُ الْآخِرَةَ وَيَرْجُو رَحْمَةَ رَبِّهِ قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُوْلُوا الْأَلْبَابِ
"(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? "Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.” (al-Zumar, 39: 9).
10) Banyak berzikir
إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَاخْتِلاَفِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لآيَاتٍ لِّأُوْلِي الألْبَابِ ، الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىَ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذا بَاطِلاً سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
[3: 190] Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;
[3: 191] (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka. (Ali-Imran, 3: 190-191).
11) Takut hanya kepada Allah
الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَّعْلُومَاتٌ فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ فَلاَ رَفَثَ وَلاَ فُسُوقَ وَلاَ جِدَالَ فِي الْحَجِّ وَمَا تَفْعَلُواْ مِنْ خَيْرٍ يَعْلَمْهُ اللّهُ وَتَزَوَّدُواْ فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى وَاتَّقُونِ يَا أُوْلِي الأَلْبَابِ
“(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).” (al-Baqarah, 2: 197).
أَعَدَّ اللَّهُ لَهُمْ عَذَابًا شَدِيدًا فَاتَّقُوا اللَّهَ يَا أُوْلِي الْأَلْبَابِ الَّذِينَ آمَنُوا قَدْ أَنزَلَ اللَّهُ إِلَيْكُمْ ذِكْرًا
“Allah menyediakan bagi mereka azab seksa yang seberat-beratnya. Maka bertaqwalah kepada Allah kepada wahai orang yang berakal sempurna dari kalangan orang yang beriman. Sesungguhnya Allah telah menurunkan kepada kamu peringatan.” (al-Talaq: 65: 10).
Adaptasi: Dalam Dakapan Makkah dan Madinah (Sebuah Catatan Perjalanan)
Oleh: Abd Shukur Harun. Terbitan: iMAP
Tuesday, June 10, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment